"Sejak dah ada suami ni, hati rasa tenang, rasa tertutup terpelihara.
Kalau keluar ke majlis atau program yang ada lelaki, tiada lah "kuch kuch hota hai" kalau tak, nampak je lelaki baik ke, hensem ke, mesti 'ter'suka..." luah isteri A.
Isteri B membalas,"Memanglah hati awak tertutup pada lelaki lain,
sebab awak dapat suami yang baik. Tapi saya, perangai suami saya tu
buatkan saya masih memandang mencari mengharap lelaki lain. Saya tau tak
patut, tapi itulah hakikat yang saya rasa.."
Nah, inilah antara senario yang ada berlaku di kalangan para isteri,
walau bukan semua. Isteri meluah perasaan suka duka, bahagia derita alam
rumahtangga..
'Bernikahlah..sesungguhnya bernikah itu menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan..' begitu pesan Rasul.
Namun adakah sebaik sahaja lafaz nikah menjadi sah, ketenangan dan
kebahagiaan akan turun dari langit menaungi kita suami isteri...?
Adakah dengan lafaz nikah semata kita akan mampu memelihara pandangan dan kehormatan diri?
Tidak sama sekali. Kebahagiaan itu perlu diusaha. Ketenangan itu
perlu dicipta. Kegembiraan tidak datang begitu sahaja. Pernikahan itu
mampu MEMBANTU menundukkan pandangan bila suami isteri berusaha
menampilkan akhlak yang baik kepada pasangan. Namun, berkahwin atau
tidak, selagi hidup - mujahadah tetap sentiasa perlu untuk menjaga
pandangan dan kehormatan.
Pernikahan sesungguhnya adalah ruang istimewa yang Allah bagi untuk
kita mencanai cinta mengadun kemesraan. Pernikahan adalah wadah bermakna
yang Allah sediakan untuk hati-hati merasa kasih sayang terindah sesama
insan. Maka Allah mengajarkan kepada kita melalui Rasul SAW bagaimana
seharusnya pernikahan yang sakinah (penuh ketenangan) itu terbangun.
Bermula dengan peribadi suami isteri yang mengenal dan berusaha
mendekati jalan Allah dan Rasul. Berusaha melaksanakan hak dan
tanggungjawab ke atas pasangan dengan ihsan. Berusaha menampilkan akhlak
terbaik yang menyenangkan. Ketenangan yang diinginkan dalam pernikahan,
harus bermula dari lubuk hati kita.
Di pagi hari, bangun mensucikan diri untuk solat subuh dan
kemudiaannya berdoa dengan kusyuk dan tenang. Memohon dilimpahkan rahmat
Allah kepada kita dan pasangan serta ahli keluarga. Lebih baik jika
mampu bangun sebelum subuh memohon ampun membina kekuatan dalaman.
Jangan lupa lazimkan hati dengan zikir pagi yang diajar Rasul SAW,
yang membawa kita merenung erti hidup bertuhan dan tidak lupa zikir
memohon perlindungan dari godaan syaitan. Bukankah syaitan punya misi
mengucar-kacirkan persaudaraan, meruntuhkan pernikahan...?
Jika hati kita kosong dari petunjuk tuhan, bersedialah menghadapi
persengketaan yang dihembus syaitan yang berlegar di sekeliling
kita. Jika ingin menegur kesilapan pasangan, berusahalah menegur dengan
tenang. Jika timbul rasa marah dan tak puas hati dengan sesuatu isu,
luahkan dan bincangkan dengan tenang.
Masalah hidup dan tanggungjawab tidak pernah habis. Namun dalam
rumahtangga, harus diusahakan masa untuk sembang-sembang memberi
perhatian dan memberi sentuhan yang menenangkan.
Ya, bukannya mudah untuk merasa tenang, bukannya mudah unuk
ketenangan meliputi suasana rumahtangga kita. Tapi ia mudah dan selalu
terjadi buat pasangan yang selalu mengikat hati dengan tuhan. Mempamer
wajah yang tenang dengan senyuman kerana ia mengharap keredhaan
tuhan. Melayani pasangan dengan baik, walaupun pasangan telah melukai
hatinya, kerana ia memilih memaafkan kerana Allah.
Bagaimana sekalipun sikap keras pasangannya, dia tetap memilih
kelembutan dan kesabaran kerana Rasul adalah teladan.Ia tidak mahu
membalas dengan keburukan, kerana hatinya amat yakin, di akhir
kehidupan, semua ini adalah urusannya dengan tuhan.Pasangannya hanyalah
satu bentuk kurniaan dan ujian Allah.
Ayuh kita cipta ketenangan, dengan DIRI KITA SENDIRI yang memulakan
memberi kemaafan, mencari sisi positif pasangan, memberi perhatian dan
kasih sayang, membiasakan kelembutan dan kesabaran kerana kita sangat
inginkan redha dan rahmat tuhan. Justeru, insan-insan yang memahami
hakikat kehidupan, akan memperoleh ketenangan dalam pernikahan kerana
Allah adalah tujuan, Rasul SAW menjadi suri teladan sepanjang zaman.
Mungkinkah ada cara lain mencipta ketenangan jika tuhan selalu dibelakangkan, bimbingan rasul tidak dititik beratkan..?
0 comments:
Post a Comment