Ketika kita membuat nekad untuk berkahwin, wajarlah kita membuat keputusan dengan beberapa 'purpose' atau tujuan. Adalah mustahil seseorang yang bangun pagi tiba-tiba terkedu;
'eh nak kahwin laa hari nih'.
'Kahwin hari ni, nak buat ape ye..?'
Sesungguhnya kahwin bukan lah untuk sehari dua, tetapi untuk seumur
hidup. Pasangan yang akan kita bawa insyaAllah destinasinya adalah
hingga ke syurga. Dari pasangan itulah kita sempurnakan fitrah kehidupan
kita. Memenuhi tuntutan nafsu yang dihalalkan agama untuk zuriat yang
mendoakan kita apabila kita sudah meninggal dunia nanti. Jadi, kita
mesti ada alasan yang kukuh kenapa kita hendak berkahwin, dan kenapa
kita perlu berkahwin.
Semua setuju dengan tujuan perkahwinan yang signifikannya adalah
bertujuan untuk memenuhi keperluan hidup, tuntutan fitrah manusia,
sebagai kesinambungan generasi, tuntutan sunnah nabi dan sebagainya.
Namun setiap manusia pastilah mempunyai 'alasan tersendiri' mengapa dia
ingin berkahwin dan perlu kepada sebuah perkahwinan.
'Ingin Berkahwin Vs Perlu Berkahwin
Ingin dan perlunya kepada sebuah perkahwinan adalah dua perkara yang
berbeza. Semua orang ingin berkahwin, tetapi inginkan sebuah perkahwinan
bukanlah menunjukkan kepada perlunya sebuah perkahwinan. Analoginya
umpama mengapa kita terasa ingin untuk makan? Sudah tentulah kita ingin
makan mungkin adalah kerana kita berasa lapar, aatau kerana makanan yang
kita lihat itu terasa sedap atau kerana makanan tersebut adalah makanan
kegemaran kita. Namun, apabila kita mempersoalkan mengapa kita perlu
makan, maka jawapan yang paling tepat ialah kita perlu untuk makan untuk
hidup.
Maka seharusnya perlu bijak berfikir dan membezakan dengan betul, kenapa kita ingin berkahwin dan kenapa kita perlu berkahwin.
Apabila kita ingin berkahwin, selalunya kita akan cenderung kepada
memikirkan perkara-perkara yang lebih kepada keseronokan dan menarik
sahaja di dalam perkahwinan. Justeru, tidak lah mustahil orang yang
memikirkan hanya 'ingin berkahwin' mudah untuk kalah di dalam mengawal
nafsu dan pertimbangan rasionalnya mudah dikaburi. Umpama seseorang yang
ingin berkahwin untuk suka-suka atau sebab sangat-sangat cintakan si
dia, maka demikianlah juga 'perjalanan' perkahwinan yang bakal dihadapi
nanti, akan lebih ke arah keseronokan semata-mata.Namun, seseorang yang memikirkan perlunya berkahwin, pemikirannya
lebih bermatlamat, matang dan halatujunya kepada sebuah perkahwinan.
Walaupun kadangkala fikirannya tersasar ke arah 'nafsu' namun ianya
dapat dilandaskan semula kepada matlamat perkahwinan itu sendiri.
Dengan adanya pemikiran yang bermatlamat, akan membawa kepada siapa
yang wajar untuk kita kahwini. Gadis sepertimanakah yang bakal menjadi
ibu kepada anak-anak kita. Suami manakah yang akan menjadi pemimpin
dalam keluarga kita nanti.
Bersedia Vs Belum Bersedia
Ramai yang akan bertanya, adakah umur dalam 20-an itu terlalu muda
untuk berkahwin? Jika era ini, mungkin ramai yang akan berpendapat usia
dalam 20-an itu adalah terlalu muda untuk sebuah perkahwinan. Jika
ditanya kepada generasi veteran, mungkin ada yang berpendapat dengan
berkahwin dalam lingkungan umur demikian agak sedikit 'terlewat', dan
mungkin ada juga yang berpendapat ianya umur yang sesuai untuk
berkahwin.
Apapun, berkahwin muda atau tidak bukanlah suatu perkara yang perlu
dipanjang-panjangkan kerana awal atau lambat adalah termasuk di dalam
taqdir seseorang hamba tersebut. Ianya telah pun ditentukan oleh Allah
SWT dan telah pun tertulis sejak azali lagi. Persoalannya adalah sama
ada seseorang itu terlah bersedia atau belum untuk menuju fasa
seterusnya.
Sekiranya seseorang itu memilih untuk berkahwin pada usia muda, maka
seharusnya memikirkan dengan mendalam persoalan mengapa perlunya
perkahwinan itu berlaku. Jika sekiranya perkara tersebut tidak
difikirkan sebaik mungkin ianya adalah tindakan tidak matang dikala usia
muda. Sebagai contoh ingin berkahwin kerana 'Impulsive behaviour' atau 'external pressure' saat melihat sahabat-sahabat yang lain telah berkahwin seorang demi seorang sorang demi sorang kahwin (terutamanya muslimat).
Kesimpulannya, jika kita melangkah ke fasa seterusnya, dari bujang
kepada hidup berumah tangga maka perlulah ditanyakan diri sendiri
mengapa perlunya kita berkahwin. Hadamkan lah soalan untuk kita
fikirkan, kenapa perlunya perkahwinan itu berlaku. Sesungguhnya, dalam
lautan manusia di bumi Allah ini kita memilih untuk mendamba hidup pada
hanya seorang sahaja. Tidak bosan kah? Tidak jemu kah? Tak mual kah?
Menatap wajah yang sama saban hari selama bertahun-tahun. Mungkin
persoalan itu bakal terjawab bila sudah mengalami sendiri pengalaman
tersebut. Mungkin itulah kuasa cinta yang disandarkan kepada Allah yang
perlu dirungkai dialam perkahwinan nanti. Dan itulah hikmah penciptaan
Allah
" Dan
diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu
isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa
tenteram kepadanya, dan dijadikanNya diantaramu rasa kasih dan sayang.
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda
bagi kaum yang berpikir."
(Surah ar-Ruum ayat 21)
Semoga Allah mengurniakan sebuah rumah tangga yang penuh keberkatan, bersama isteri dan anak-anak yang soleh.
"Dan
hamba-hamba yang beriman itu berdoa, Wahai Tuhan kami kurniakanlah untuk
kami isteri-isteri kami dan anak-anak kami yang jadi penyejuk mata kami
dan jadilah kami petuan orang-orang yang muttaqin."
(Surah al-Furqan ayat 74)
0 comments:
Post a Comment