Tuesday, 26 July 2011

CINTA...

Lumrah sang makhluk, punya perasaan CINTA. Ingin cinta mencintai. Cinta antara manusia telah tercipta sejak Adam dan Hawa diciptakan. Hakikatnya, cinta itu telah hadir lebih awal daripada hakikat penciptaan manusia. Cinta daripada sang Pencipta. Dialah yang menciptakan rasa cinta dengan fitrah bahagia, rindu, dendam, gembira dan segala rasa bisa terbias dek perasaan cinta.

Namun, saat sang hamba diuji cinta mereka kepada sang Pencipta...ada yang tewas. Mereka khilaf dalam memilih antara cinta manusia dan cinta Allah S.W.T. Mereka rela meninggalkan tarbiyah kerana cintanya kepada manusia. Apakah cinta Allah S.W.T berhak dipisahkan daripada hati manusia yang kontang ini? Tiadakah tempat di hati ini untuk-Nya? Apakah kedudukan-Nya serendah makhluk ciptaan-Nya sehingga boleh disisihkan sebegitu sahaja?

Hanya segelintir manusia yang melepaskan rasa cintanya terhadap manusia demi rasa cinta yang agung kepada Allah S.W.T. Malangnya, lebih ramai manusia yang melepaskan cinta kepada Allah S.W.T hanya kerana seorang manusia yang kononnya 'sanggup sehidup semati bersama-sama'. Sedangkan, Allah S.W.T tetap mencintai setiap hamba-Nya...


Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). [At-Taubah 9:24]


Wajarkah kita meletakkan syarat terhadap cinta terhadap cinta kita kepada Allah S.W.T? Tegar hati yang Allah S.W.T pinjamkan ini meletakkan kedudukan setitis mani yang hina lebih tinggi dari-Nya...

Bukanlah cinta itu dihalang...apatah lagi dilarang. Malah, cinta itu dimuliakan. Bukankah berbeza cinta yang ditemui di jalanan berbanding cinta yang kita temui setelah meredah onak duri dan lautan ujian? Nikmatnya jauh lebih indah...lebih manis...insya-Allah kekal hingga ke syurga..

Justeru, di saat Allah S.W.T melamar kita dengan tarbiyah-Nya, tidakkah kita merasa rugi sekiranya tarbiyah ini hilang disebalik tirai cinta manusia yang rapuh. Bukankah rusuk yang bengkok ini dibengkokkan sesuai dengan keperluannya? Menunduk penuh ketaatan kepada suaminya yang menyerahkan seluruh jiwa kepada Yang Maha Esa.

Aku wanita mujahidah sejati,
Yang tercipta daripada tulang rusuk lelaki yang berjihad,
Bilakah akan datang seorang peminang menghampiriku mengajak untuk berjihad,
Kelak akanku pergi mendampinginya di bumi Jihad.
Aku telah bersiap sedia dengan semua syarat yang diajukan,
Cinta Allah S.W.T, Rasul S.A.W dan jihad fisabilillah,
Aku rela berkelana mengembara dengannya untuk melindungi Diinullah,
Ikhlas menyebarkan dakwah ke segenap penjuru bumi Allah S.W.T.
Aku wanita mujahidah pilihan,
Yang mengalir di nadiku darah lelaki yang berjihad,
Bilakah akan datang menghampiriku seorang peminang yang penuh tawadhuk,
Kelak bersamanya akan kuharungi bahtera lautan jihad.

Andai tidak siap bisa kau pilih,
Agar kelak batin dan jiwa ragamu tidak terusik,
Terbeban dengan semua tingkahku,
Meninggalkan dakwah kerana lebih mencintaimu,
Dan menanggalkan pakaian taqwaku kerana laranganmu.

Biar hidup terasing di dunia asalkan di akhirat kita bahagia,
Bila aku setuju dan kau tidak meraguiku,
Bulat tekadku untuk menemanimu,
Lupa akan kemilau dunia dan remangnya lampu kota.

Meniti jalan panjang di medan jihad,
Yang ada hanya darah dan airmata tertumpah,
Keringat luka dan kesyahidan pun terulang,
Jika masih ada ragu tertancap dihatimu,
Teguhkan azamku untuk lupakan dirimu.

Aku wanita dari bumi Jihad,
Dengan bekalan semangat berangkat ke padang jihad,
Persiapkan bekal diri menanti pendamping hati,
Tepiskan semua mimpi yang tidak bererti.

Kerana tidak mungkin kulanjutkan perjalanan ini sendiri,
Tanpa peneguh langkah kaki dan pendamping perjuangan,
Yang melepaskanku dengan sepotong doa,
Meraih syahid adalah tujuan utama.

Tidak mungkinku pilih dirimu sekiranya dunia dambaanmu,
Lupa kampung halaman dan sanak-saudara,
Tidak mungkin aku memilihmu,
Bila yang fana lebih kau cintai.


Wednesday, 20 July 2011

Kebanyakan daripada kita sering berjumpa doktor walaupun untuk kes-kes ringan seperti demam dan selsema. Kes-kes ringan seperti ini boleh dirawati secara mudah. Ini dapat menjimatkan kos dan seterusnya mengelakkan kebergantungan terhadap antibiotik yang akan menyebabkan bakteria menjadi semakin imun. Di sini ada enam cara yang kita boleh gunakan sendiri di rumah:

01.Demam
  • Ambil makanan yang lembut seperti bubur dan banyakkan meminum air untuk menggantikan cecair badan yang hilang.
  • Rehat sebanyak yang mungkin.
  • Sejukkan dahi dan badan dengan tuala basah sehingga  demam berkurangan.
  • Basuh segenggam kacang pea dan biarkan ianya kering. Panaskan tanpa minyak, kemudian letakkan kacang pea dalam cawan, tambahkan air sejuk dan biarkan untuk seketika sebelum minum.
02.Selsema
  • Tingkatkan pengambilan air dan rehat yang mencukupi.
  • Ambil banyak buah-buahan(atau jus) seperti  oren atau jambu batu.
  • Untuk melegakan hidung yang tersumbat, hidu bau bawang putih yang ditumbuk atau dipotong beberapa kali sehari.
  • Sup ayam juga bagus untuk melegakan selsema. Cara yang lain untuk melegakan selsema ialah dengan menumbuk halia dan mengambil 1 sudu teh jus halia. Maniskan dengan madu dan ambil 3 kali sehari untuk 4 hari.
(Ramai benanggapan bahawa paracetamol merupakan ubat mujarab untuk demam dan selsema namun ianya cuma melegakan sahaja, paracetamol juga telah dikaitkan dengan kerosakan buah pinggang untuk jangka masa yang panjang)
03.Sakit Kepala dan Migrain
  • Rebus beberapa kangkung dalam beberapa minit. Tuangkan air rebusan kangkung dalam gelas dan kemudian tambahkan secubit garam, kacau dan minum.
  • Genggam beberapa ulas bawang putih dan gosokkan pada dahi.
  • Ambil sekeping kentang yang nipis dipotong dan letakkan ia pada dahi. Ganti dengan kepingan kentang yang lain selepas kepingan yang tadi kering.
04.Sakit tekak
  • Letakkan satu sudu teh garam dalam secawan air suam. Kemudian kumuh dengan air itu.
05.Cirit-birit
  • Banyakkan meminum air bagi menggantikan cecair badan yang hilang. Garam ORT juga dapat membantu
  • Minum teh O tanpa gula juga boleh melegakan cirit birit
  • Elakkan pengambilan susu ketika cirit birit
(Ketika cirit birit, dinasihatkan supaya kita minum secara sedikit-sedikit daripada meminum air dengan banyak dalam satu masa, ini kerana perut kita yang kejang tidak menerima air yang banyak dalam satu masa dan akan menyebabkan kita muntah)
06.Sembelit
  • Banyakkan meminum air bagi melegakan sembelit
  • Banyakkan pengambilan serat dalam makanan, seperti pisang dan juga roti gandum penuh
Jadi, kenapa kita harus bergantung kepada ubat-ubatan lagi sedangkan cara yang senang dan menjimatkan sudah ada?

Selamat Mencuba ! 



Thursday, 7 July 2011

Islam sebagai satu jalan dan cara hidup komprehensif memberi penekanan penting meletakkan garis panduan serta piawaian tinggi yang terperinci bagi membimbing manusia ke arah keredaanNya.

Dalam Islam, perkahwinan dan hubungan suami isteri serta seisi keluarga adalah perkara mulia dipandang penting.

Allah SWT yang mencipta manusia dengan sebaik kejadian, meletakkan unsur syahwat dan menanam perasaan kasih sayang yang bergerak selari dengan perkembangan kemanusiaan itu sendiri.

Islam meraikan fitrah dan keperluan hidup manusia, contohnya keperluan ingin dikasihi, mempunyai pasangan hidup serta keluarga sebagai tempat menerima serta mencurahkan kasih sayang.

Oleh itu, semua orang yang berkemampuan dan cukup syarat dianjurkan berkahwin dan membina keluarga.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan." (Surah al-Rum, ayat 21)

Islam turut memberi panduan bagi golongan muda yang ingin berkahwin dengan niat menjaga diri daripada dosa dan maksiat, tetapi khuatir rezekinya sama ada mencukupi atau tidak untuk menanggung keluarga.

Dalam hal ini, sekiranya usaha mencari rezeki dijalankan dengan tersusun selepasnya, yakinlah bahawa rezeki akan dimudahkan melalui perkahwinan itu.

Ia dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: "Dan kahwinilah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan mengkayakan mereka daripada rezeki-Nya. Dan Allah Maha Luas Pemberian-Nya dan Maha Mengetahui." (Surah al-Nur, ayat 32)

Namun begitu, sekiranya seseorang belum mempunyai kemampuan dan persediaan menempuh kehidupan berkeluarga, maka hendaklah berusaha menahan hawa nafsu dengan sebaiknya.

Panduan itu diberikan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: "Wahai orang muda, sesiapa di antara kamu yang mampu berkahwin maka hendaklah dia berkahwin kerana ia (iaitu perkahwinan) dapat mengawal mata dan kemaluan. Barang siapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana ia (iaitu puasa) akan menjadi penjaga baginya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Islam sebenarnya tidak menggalakkan umatnya mengambil sikap berkecuali dengan tidak mementingkan urusan perkahwinan. Rasulullah SAW pernah menggambarkan kegembiraan Baginda di akhirat dengan bilangan umatnya yang ramai hasil daripada perkahwinan berlangsung di kalangan umatnya.

Sabda Baginda SAW bermaksud: "Nabi SAW menyuruh kami supaya berkahwin dan melarang kami membujang. Larangan itu beliau tekankan dengan cukup keras dengan bersabda: "Nikahilah wanita yang subur dan penyayang, kerana aku berasa bangga melihat umatku yang ramai pada hari kiamat kelak." (Riwayat Ahmad)

Namun begitu, kita perlu melihat dengan lebih terperinci bahawa apa yang menjadi impian Rasulullah SAW adalah umatnya ramai, berkualiti, mempunyai jati diri Muslim sebenar.

Apakah yang dikatakan perkahwinan itu? Dr Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya al-Fiqh al-Islamiy meletakkan definisi perkahwinan atau al-nikah sebagai 'satu akad yang menghalalkan pergaulan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan bukan muhrim, menimbulkan hak dan kewajipan antara kedua-dua mereka.'

Menerusi definisi ini, beberapa perkara penting dapat dikeluarkan:

# Pertama, perkahwinan menyatukan antara dua insan yang saling menyintai dengan menggunakan akad ijab kabul yang sah dalam Islam. Ia berkait perjanjian dengan Allah untuk menjaga perkara yang digariskan antara mereka selepas akad dilaksankan. Justeru, perkahwinan mempunyai nilai keagamaan, ketundukan kepada Allah dan mematuhi peraturan yang Allah tetapkan untuk dijaga di sepanjang prkahwinan berlangsung.

# Kedua, adalah jelas bahawa perkahwinan hanya boleh berlaku di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Dengan itu, Islam tidak membenarkan hubungan sesama muhrim walaupun mereka saling mencintai seperti anak dan bapa, adik beradik, anak saudara dengan bapa saudara dan sebagainya. Termasuklah hubungan muhrim yang terbina dari pertalian darah, susuan dan persemendaan.

# Ketiga, hanya selepas wujudnya akad perkahwinan, barulah wujud hak dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi dan ditunaikan pasangan terbabit. Hak isteri adalah tanggungjawab suami untuk tunaikan dan hak suami menjadi tanggungjawab isteri untuk tunaikan. Hak anak yang lahir selepas ikatan itu menjadi tanggungjawab ayah dan ibu untuk tunaikan. Istilah tanggungjawab pula memberi konotasi yang besar, perkara yang ditanggung dan perlu ditunaikan dengan ikhlas, jika gagal maka ada pertanggungjawaban di hadapan Allah di akhirat kelak terhadap pengabaian dan kegagalan itu. Itulah elemen keagamaan dan ketundukan kepada Allah di dalam perkahwinan.

# Keempat, definisi itu juga menjelaskan bahawa pasangan yang belum berkahwin, sama ada yang sedang bercinta atau bertunang, belum wujud sebarang hak dan tanggungjawab antara mereka. Hubungan mereka belum dihalalkan agama dan mereka tidak boleh bebas bergaul, berpegangan tangan, berpelukan apatah lagi melakukan hubungan kelamin kerana Islam tidak mengiktiraf mereka sebagai pasangan yang sah. Inilah yang paling ketara antara perkahwinan di sisi pandangan barat dan Islam. Bagi golongan barat, apabila pasangan saling cinta mencintai, maka hubungan kelamin adalah suatu yang lumrah. Agama tidak mempunyai peranan dalam pembawaan dan keputusan dibuat. Kerana itu, melakukan hubungan kelamin, mempunyai anak sebelum berkahwin adalah perkara bukan mengaibkan atau pelik dalam masyarakat mereka. Islam tidak membenarkan kita menyerupai dan mengambil langkah seperti mereka.

# Kelima, akad perkahwinan adalah ikatan murni antara lelaki dan perempuan untuk hidup bersama dalam sebuah rumah tangga. Nilai keagamaan sangat jelas dizahirkan di mana tertolaklah perkahwinan sama jantina, lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan. Barat menerima perkembangan yang berlaku di mana lelaki boleh berkahwin dengan lelaki dan wanita berkahwin dengan wanita. Ia kerana perkahwinan bagi mereka adalah titik akhir penzahiran kecintaan antara dua insan. Tidak ada hubung kait dengan elemen keagamaan. Sedangkan Islam sama sekali tidak mengiktiraf hubungan gay atau lesbian. Bahkan Islam tidak mengiktiraf perkahwinan mana-mana pihak yang membuat pembedahan tukar jantina. Islam tidak mengiktiraf perkahwinan lelaki menjadi perempuan dan perempuan menjadi lelaki.

# Keenam, perkahwinan adalah ikatan suci yang bukan saja menggabungkan dua insan, tetapi dua keluarga dan keturunan. Maka silaturahim antara manusia akan berkembang dan kehidupan lebih berseri.