Friday, 26 August 2011

Mungkin dirimu ditinggalkan,
Mungkin dirimu menyendiri,
Mungkin dirimu di kelilingi,
Mungkin kau hanya mencari,
Masih belum kau ketemu,
Kerana kau tidak tahu,
Apa yang sebenarnya hilang...

Mungkin kau bersedih,
Mungkin kau bergembira,
Mungkin kau biasa-biasa saja,
Namun, kosong itu masih ada....

Pernahkah?

Pada satu ketika kau menyendiri,
Tanpa sesiapa di sisi,
Kau merasa sedih, mungkin juga benci,
Benci dengan semua makhluk di sekeliling,
Kerana mereka meninggalkanmu...

Pernahkah kau bersedih kerana diri tidak dipeduli,
Kerana diri tidak sehebat manusia lain,
Lalu di situ kau terduduk,
Menangis samada luar atau dalam hati...

Tiba-tiba terdengar satu suara halus,
Yang memujuk hati agar jangan bersedih,
Yang memberitahumu bahawa kau tidak keseorangan,
Yang meyakinkanmu bahawa awan hitam akan berarak pergi,
Matahari pula akan bersinar kembali...

Dalam masa yang sama,
Ada juga satu suara garau,
Yang menyuruhmu untuk tidak mempedulikan itu semua,
Segalanya mustahil, mana mungkin ada peneman setia,
Yang sanggup mendengar segala keluh-kesahmu,
Yang sanggup memaafkan walau menggunung tinggi dosamu,
Yang sanggup menerima usahamu walaupun tidak sehebat insan lain,
Yang tidak pernah sekalipun menolak untuk berada di sisimu...

Namun, suara halus tadi itu kian sayup-sayup kedengaran,
Kemudian hilang ditenggelamkan suara garau yang menambahkan kebencian di hati,
Tanpa sedar dirimu dikemudi amarah,
Mencari kesilapan, mencari kesalahan...

Mungkin pernah,
Dirimu merasakan tiada gunanya menjadi baik,
Kerana akhirnya kau hanya dikhianati, dibenci dan dicaci maki,
Lalu kau mengalah dan ingin berubah menjadi jahat,
Lalu kau biarkan kerana mahu mengelak dari terluka...

Pernahkah kau terfikir?
Andainya Rasulullah S.A.W juga berpendirian sepertimu,
Mungkinkah Islam akan tersebar ke seluruh dunia?
Oh, itu Rasulullah S.A.W! Bukan aku,
Baginda maksum dan aku tidak...

Buat kau yang bernama diri,
Maksumnya junjungan kita,
Tidak membuatkan baginda bukan manusia,
Baginda juga punya hati juga punya perasaan,
Baginda juga punya perasaan sedih,
Juga pernah mengalirkan air mata...

Pernahkah Rasulullah S.A.W beralasan sepertimu?
Pernahkah Rasulullah S.A.W membiarkan suara garau itu menang?
Meski dituduh pelbagai macam,
Ditohmah dengan pelbagai caci-maki,
Malah diancam bunuh...

Tidak!

Baginda tidak pernah membiarkan suara garau itu menang,
Kerana baginda tahu, suara halus itu,
Adalah kasih sayang daripada Allah,
Yang seringkali insan abaikan,
Yang seringkali dinafikan,
Yang seringkali bergema dalam minda,
Namun jarang sekali dibiarkan terus bergema,
Untuk terus membasahi hati yang dahagakan cinta-Nya....

Kau tahu apa yang kau hilang?
Itulah dia, kau hilang cintamu kepada Tuhan,
Jadi, buat kau yang bernama diri,
Duduk, diam dan fikir,
Dengarlah suara halus itu,
Carilah kembali apa yang kau hilang,
Kerana hanya dengan itu,
Hatimu akan kembali terisi,
Kelak, tiada lagi lubang yang mampu suara garau itu duduki...


 

Wednesday, 3 August 2011

Pernahkah anda tertanya-tanya mengapa Hawa dijadikan oleh ALLAH S.W.T di saat Adam a.s tidur? Jawapannya seorang lelaki apabila kesakitan, maka dia akan membenci, manakala wanita sebaliknya.

Bagi wanita, saat dia kesakitan, maka semakin bertambah sayang dan cintanya. Seandainya Hawa diciptakan dari Adam As saat Adam terjaga, pastilah Adam akan merasakan sakit keluarnya Hawa dari tulang sulbinya, hingga dia membenci Hawa. Akan tetapi Hawa diciptakan dari Adam pada saat dia tertidur, agar Adam tidak merasakan kesakitan dan tidak membenci Hawa. Sementara seorang wanita akan melahirkan anak  dalam keadaan terjaga, melihat kematian dihadapannya, namun semakin sayang dan cintanya kepada anak yang dilahirkan bahkan ia akan menebusnya dengan kehidupannya.

Sesungguhnya Allah menciptakan Hawa dari tulang rusuk yang bengkok yang tugasnya adalah melindungi qalbu (hati nurani). Oleh karena itu, tugas Hawa adalah menjaga qalbu. Kemudian Allah menjadikannya bengkok untuk melindungi qalbu dari sisi yang kedua. Sementara Adam diciptakan dari tanah, dia akan menjadi petani, tukang batu, tukang besi, dan tukang kayu. Wanita selalu berinteraksi dengan perasaaan, dengan hati, dan wanita akan menjadi seorang ibu yang penuh kasih sayang, seorang saudari yang penyayang, seorang putri yang manja, dan seorang istri yang penurut.

Dan wajib bagi Adam untuk tidak berusaha meluruskan tulang yang bengkok tersebut, seperti yang dikabarkan oleh Nabi Muhammad SAW, "jika seorang lelaki meluruskan yang bengkok tersebut dengan serta merta, maka dia akan mematahkannya." Maksudnya adalah dengan kebengkokan tersebut adalah perasaan yang ada pada diri seorang wanita yang mengalahkan perasaan seorang lelaki.

Maka wahai Adam janganlah merendahkan perasaan Hawa, dia memang diciptakan seperti itu. Apabila seseorang wanita mengatakan dia sedang bersedih, tetapi dia tidak menitikkan airmata, itu berarti dia sedang menangis di dalam hatinya. Apabila dia tidak menghiraukan kamu setelah kamu menyakiti hatinya, lebih baik beri dia waktu untuk menenangkan hatinya sebelum kamu meminta maaf.

Dan wanita sukar untuk mencari sesuatu yang dia benci untuk orang yang paling dia sayang.


Pernahkah kita terasa tiba-tiba sahaja seolah-olah tidak mengenali pasangan kita? Mengapa dia menjadi "manusia lain"? Seakan-akan kita belum pernah mengenalinya walaupun telah berumahtangga sekian lama. Jika kita pernah mengalami perasaan itu, jangan terkejut. Ia adalah perkara biasa. Bukan sesuatu yang luar biasa.

Itu semua gara-gara warna sebenar (true colours) pasangan kita mula terserlah. Satu demi satu wataknya yang tersirat mula tersurat. Mengikut kajian pakar perkahwinan, hanya setelah usia lima tahun perkahwinan, barulah masing-masing (suami dan isteri) mengeluarkan semua sikap dan perangai mereka yang tersembunyi.

Pernah kita baca di dada akhbar  bagaimana kelohan seorang isteri yang telah disimbah asid oleh suaminya. Katanya, "setelah tiga bulan berkahwin barulah saya sedar bahawa suami saya sebenarnya seorang yang panas baran." Ironinya, mungkin pasangan itu telah bercinta (berpacaran) tiga tahun sebelum mereka berkahwin. Bayangkan, tiga tahun bercinta tanpa mengenal diri kekasih yang sebenar. Benarlah cinta itu buta.

Cinta kerana nafsu memang buta. Kita dikelabui oleh daya tarikan fizikal sehingga tidak punya mata hati dan akal untuk mengenal siapa yang kita cintai dengan tepat dan betul. Selama tiga tahun bercinta mungkin yang kita 'gunakan' cuma nafsu dan emosi bukan fikiran dan hati. Hasil, setelah tabir perkahwinan mula diangkat, tabir percintaan pun berlabuh. Realiti tidak seindah ilusi. Kenyataan berbeza sungguh daripada impian.

Masa bercinta, warna sebenar – true colours pasangan kita tidak akan ketara. Dia boleh bermuka-muka dan rela mengikut selera, minat dan jalan hidup kita. Dan kita juga rela mengikut segala kehendaknya. Kita dan dia mabuk cinta! Namun semakin lama berumah-tangga, maka semakin ketara kelemahan dan kekurangan. Apakah dia umpama bulan yang dipuja dikejauhan oleh Sang sastrawan tetapi botak dan berlopak di mata seorang angkasawan?

Pada tahap ini, ramai yang mula menyesali diri. Mengapa dia yang ku pilih? Tanpa sedar bahawa pada masa yang sama, dia juga mungkin berbisik mengapa kita yang dipilihnya? Inilah bibit-bibit yang boleh meruntuhkan sebuah rumahtanga. Yang nekad, rela berpatah arang lalu menempuh jalan penceraian. Yang penakut, menunggu dengan resah memendam perasaan,tanpa ada lagi keceriaan.

Manusia adalah makhluk yang sentiasa berubah. Ia punya hati yang sangat konsisten untuk berbolak-balik. Bila hati berubah, fikiran dan tingkah laku juga akan berubah. Untuk kita mengenal manusia (termasuk pasangan kita) kita terpaksa mengenali perubahan itu. Ah, ini suatu yang sangat sukar. Masakan tidak, untuk mengenal hati sendiripun acapkali kita tidak mampu, inikan pula hati orang. Sukar diduga dan ditebak.

Akibatnya, ramai orang yang berkahwin dengan orang yang 'tidak dikenalinya'. Bukan rupa zahirnya tetapi wajah batinnya. Disangka permata, rupanya kaca. Cuaca rumah tangga mula berubah. Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan ditengahari. Situasi inilah yang banyak berlaku dalam rumahtangga kini hingga menyebabkan (mengikut kajian) setiap lima belas minit berlaku satu penceraian!

Apakah cara mengenal manusia yang serba kompeks ini? Bagaimana menentukan dengan pasti bahawa pasangan yang bakal kita pilih itu baik orangnya? Ya, ada tiga cara:

1. Jadi orang baik.
Maksudnya, kita sendiri cuba sedaya upaya menjadi orang yang baik, Insya-Allah kita akan dikurniakan orang yang baik sebagai pasangan hidup kita. Ini janji Allah. Menjadi orang yang baik perlu diutamakan berbanding 'mencari' orang yang baik. Ia lebih mudah kerana menjadi orang baik bermula dengan diri sendiri.

Perlu diingat, janji mendapat pasangan yang baik bagi orang yang baik, bukan hanya berlaku pada awal perkahwinan. Mungkin pada awalnya pasangan orang yang baik itu belum begitu baik namun berkat didikannya, pergaulannya dan doanya maka pasangannya  itu berubah menjadi baik selepas mereka berkahwin.

Jadi, jangan putus asa sekiranya pada awal perkahwinan kita lihat pasangan kita belum benar-benar baik seperti yang kita harapkan. Sebaliknya, teruskan usaha untuk menjadi orang yang baik sambil mendidik dan mendoakan pasangan kita itu. Ingat, setelah berkahwin dengan kita, pasangan kita itu adalah cerminan akhlak dan keperibadian kita. Siapa mereka sebelum berkahwin dengan kita kurang penting berbanding siapa mereka setelah berkahwin dengan kita.

Justeru, tidak kira siapa dia sebelum berkahwin dengan kita, tetapi sebagai suami atau isteri kita komited untuk merubah diri kita sendiri terlebih dahulu seiring usaha merubah dirinya. Jika kita tidak dapat apa yang kita suka, kita perlu suka dengan apa yang kita dapat. Caranya, ialah dengan merubah diri kita terlebih dahulu, dan insya-Allah perubahan itu akan merubah pasangan kita ke arah yang sama.

2. Ikut pilihan orang baik.
Ada orang yang menyerahkan hak membuat pilihan kepada orang-orang yang dianggapnya sangat baik dalam hidup ini. Mereka meminta ibu-bapa, ustaz-ustaz, ulama-ulama atau sesiapa sahaja yang dianggap baik untuk memilih jodoh buat mereka. Mereka pasrah dan menyerah sahaja. Tetapi dengan satu keyakinan: Orang yang baik pasti akan memilih orang yang baik sebagai pasangannya.

Ibu-bapa, para ulama dan orang yang baik-baik sekali-kali tidak akan menganiayai kita dengan memilih orang yang 'jahat' sebagai pasangan hidup kita. Kaedah ini telah dipraktikan oleh anak-anak muda zaman dahulu yakni ketika nilai-nilai agama belum dicabar oleh nilai Barat yang kononnya menyanjung hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.

Pada pilihan orang yang baik, ada keberkatannya. Walaupun tidak ada cinta sebelum berkahwin, tetapi cinta selepas berkahwin jauh lebih suci dan indah. Cuba kita renungkan, betapa seringkali rumah tangga ibu-bapa yang berkahwin mengikut pilihan orang tuanya lebih kekal dan harmoni berbanding rumah tangga anak-anaknya yang kononnya berkahwin atas dasar cinta.

Inilah kaedah yang dipraktikan oleh Zainab yang berkahwin dengan lelaki yang menjadi pilihan bapanya (Rasululllah saw). Zainab akur atas pilihan itu kerana yakin akan sifat kasih sayang, amanah dan kebijaksanaan ayahnya. Dia yakin hanya orang baik (Rasulullah saw) mampu mengenal orang baik dan memilih orang baik sebagai pasangan hidup anaknya.

Justeru, sekiranya kita terlalu sukar untuk mengenali seseorang secara tepat, maka serahkan sahaja tugas itu kepada orang yang lebih arif untuk mengenalnya. Jangan cuba membuat penilaian sendiri. Bermuzakarahlah dengan orang yang baik-baik dan dirikan solat istikharah – pinta petunjuk daripada Allah setelah pilihan itu diserahkan ke tangan kita. Tidak akan kecewa orang yang bermuzakarah dan beristikharah!

3. Cintai Allah yang Maha Baik.
Kita tekad sahaja untuk mencintai Allah. Jangan pandang cinta manusia lagi. Buru cinta yang utama dan pertama (cinta Allah), insya-Allah cinta kedua, ketiga akan memburu kita. Apabila kita mencintai Allah, Allah akan mencintai kita dan bila Allah telah mencintai kita, semua orang yang mencintai Allah akan turut mencintai kita. Rasulullah saw telah bersabda:

"Sesungguhnya Allah SWT jika mencintai seorang hamba, maka Dia memanggil malaikat Jibril dan berkata: "Wahai Jibril, aku mencintai orang ini maka cintailah dia!" Maka Jibril pun mencintainya, lalu Jibril mengumumkannya kepada seluruh penduduk langit dan berkata: "Wahai penduduk langit, sesungguhnya Allah mencintai orang ini, maka cintai dia." Maka seluruh penduduk langit pun mencintainya. Kemudian orang itu pun dicintai oleh segenap makhluk Allah di muka bumi ini." 
 (Hadis Riwayat Bukhari)

Untuk mencintai Allah, kita wajib mencintai Rasulullah saw. Antara langkah-langkah menyintai Rasulullah saw itu adalah dengan banyak berselawat kepadanya, menegakkan sunahnya, menziarahi makamnya dan lain-lain lagi. Ini adalah ubat yang mujarab bagi isteri yang dikecewakan suami atau suami yang dipinggirkan oleh isteri. Jangan menagih cinta makhluk sampai kita derita dan sakit hati dibuatnya. Merajuk pada yang kasih, merayu pada yang sudi.Siapa lagi yang terus kasih dan sudi mencintai kita ketika semuanya telah berpaling kecuali Allah?

Ya, burulah cinta itu. Cinta Allah mampu mengekalkan, malah boleh meningkat lagi rasa cinta walaupun perubahan fizikal berlaku, justeru tapak cinta itu di hati, bukan lagi di 'body'. Biarlah cinta pasangan kita berubah (walaupun kita terus berdoa agar tidak begitu), tetapi kita tidak akan berubah daripada menyintai Allah.

Yakinlah jika pasangan kita juga menyintai Allah, pasti dia dan kita akan disatukan-Nya semula. Jika tidak, relakanlah perpisahan itu. Jangan bersedih, kerana sesuatu yang tidak memanfaatkan pasti tidak boleh memudaratkan!


Risaunya Hati!!!

Cemburu..

Itulah sifat yang terlalu akrab dengan seorang wanita. Sebab itu, hati para wanita ini perlu dibelai, dikasihi, dijaga sebaik-baiknya agar tidak terluka. Wanita, apabila hati sudah terluka sudah pasti lambat sembuhnya. Jika tidak kena pada caranya, hati wanita ini boleh bernanah dengan begitu teruk. Disinilah suami perlu bijak memainkan peranan. Memujuk tanpa jemu, ikutilah sunnah-sunnah nabi. Bagaimana Rasulullah S.A.W berjaya menggembirakan hati isteri-isteri baginda sebelum ini.

Lelaki juga apa kurangnya walaupun jarang-jarang cemburu tetapi apabila sesekali cemburu begitu hebat penangannya. Tetapi sangat sedikit lelaki yang mengaku bahawa dia sedang cemburu. Mungkin ego itu yang menghalang mereka daripada berterus terang. Mungkin kah?

Suami isteri selalunya bersengketa hanya kerana cemburu. Cemburu kadang-kadang boleh mendatangkan bahagia, tapi ianya lebih banyak cenderung kepada pergaduhan. Cemburu yang mendatangkan pergaduhan ini selalunya merupakan cemburu buta, jika tidak pun kemungkinan besar ada orang yang ketiga yang wujud dan sengaja menimbulkan pergaduhan antara suami isteri ini agar masing-masing bergaduh antara satu sama lain dan kemudian bercerai berai. Nauzubillah!

Apa yang ingin dikongsikan tentang sifat ini ialah mengenai pasangan yang terlalu memikirkan tentang perhubungan. ikuti luahan sebenar hati seorang insan bernama wanita:

Aku bahagia bertemu dengan si dia. Ilmunya, akhlaknya sangat aku kagumi. Dia seorang yang lemah-lembut terhadap wanita. Perkenalan dengannya yang begitu lama akhirnya telah menyatukan kami sehingga ke ambang perkahwinan. Aku sangat bahagia bersamanya.

Tapi, di saat aku terlalu menyayanginya. Allah menguji keimanan ku. Aku dapat tahu dahulunya dia pernah menyayangi seorang wanita sebelumku, aku cemburu dengan itu sedangkan dahulu, aku tidak pernah menyayangi mana-mana lelaki sebelumnya dan hakikatnya dialah lelaki pertama dan yang terakhir yang pernah aku sayangi.

Kemudian, aku mendapat tahu lagi perkara-perkara yang lalu tentangnya. Aku menjadi semakin gelisah, hatiku resah tidak menentu. Dahulu, suamiku seorang insan biasa. Dia tidak pernah menuntut di sekolah agama. Pendidikan agamanya hanya setakat sekolah agama rakyat yang dihadirinya diwaktu petang ketika zaman sekolah rendah. Menurut suamiku lagi, dia seorang yang amat jahil tentang ilmu Islam. Namun begitu, Alhamdulillah tahun demi tahun berlalu, akhirnya Allah telah berikan suamiku hidayah. Sebelum mengenaliku, dia telah dibukakan mata hatinya untuk berubah mencari yang hakiki. Atas dasar keimanannya itu, aku jatuh cinta padanya. Ketika diberitahu dia meminangku, aku tersenyum syukur. Aku memilihnya kerana nilai agama yang ada dalam dirinya. Masya-Allah!

Ketika aku menerima pinangan dan bernikah dengannya, aku tidak mengetahui langsung sejarah hidupnya. Dihadapanku ketika itu dia adalah seorang lelaki soleh, yang aku cintai dan terima seadanya. Sungguh tenang, seakan bercahaya wajahnya. Tapi, bila saat sejarah-sejarahnya dahulu diketahui olehku, aku menjadi bingung. Terngiang-ngiang ditelingaku pengakuan suamiku kepadaku bahawa suatu masa dahulu dia seorang yang kerap bersosial. Dia pernah berkawan dan bermesra dengan beberapa wanita lain yang berbeza sebelum dia mendapatkan hidayah Allah itu. Aku menjadi terlalu cemburu dan agak marah ketika itu semuanya kerana aku berasa tidak adil kerana aku tidak pernah melakukan apa yang suamiku lakukan sebelum aku bernikah dengannya dahulu. Aku jadi sedih dan perasaanku bercampur baur.  

Kadang-kadang aku menangis merintih pada Ilahi mengapa sifat ini terlalu menikam-nikam jiwa batinku. Aku ingin menjauhi sifat seperti ini. Namun, semakin aku cuba untuk melawan semakin ia kuat mencengkam perasaan. Aku cuba mempositifkan diri dan minda, tetapi masih tidak berjaya. Salahku Ya Allah kerana aku terlalu cemburu?

Tatkala terbayang keadaan suamiku berhubungan dengan wanita lain dan terbayang saat suamiku bermesra dengan kekasih hatinya dan wanita-wanita seperti itu, aku jadi semakin sedih. Apa yang aku inginkan ialah suami yang suci dan tidak pernah melakukan dosa-dosa besar, tapi itu mustahil kerana aku telah memilihnya dan aku juga pernah melakukan banyak dosa tanpa disedari.

Hampir setiap saat aku memikirkan perkara ini selepas aku mengetahui kisah silamnya. Kepalaku jadi serabut yang teramat. Tetapi hubunganku dengannya tetap berjalan seperti biasa. Sungguh, aku tidak berani menyuarakan perasaan cemburuku ini padanya. Apabila kulihat mukanya kelihatan risau dan ingin meminta nasihat dan semangat setelah berpenat-lelah berjuang dan berdakwah di luar, aku memberikannya kata-kata semangat, walaupun di hati aku sedih dengan kisah silamnya tetapi aku cuba lupakannya demi cintaku pada seorang suami.. 

Hinggalah pada suatu detik, aku teringat akan kisah srikandi Islam yang mulia iaitu 'Aisyah'. Beliau adalah salah seorang isteri Rasulullah S.A.W yang paling muda dan yang paling kuat sifat cemburunya.
Pernah suatu hari, salah seorang isteri Baginda S.A.W datang berkunjung ke rumah Baginda ketika mana giliran Baginda untuk bersama Aisyah. Isteri Baginda S.A.W ketika itu hanya ingin memberikan sedulang makanan kepada suaminya dan madunya, 'Aisyah. Apabila 'Aisyah ingin menyambut makanan tersebut beliau sengaja menjatuhkan makanan itu. Dan, hal ini segera ditegur oleh Baginda S.A.W. Lalu Baginda S.A.W menasihati isterinya dan meminta agar 'Aisyah meminta maaf kepada madunya itu.

Ada juga kisah mengenai sifat cemburu 'Aisyah di mana Rasulullah S.A.W acapkali menyebut-nyebut tentang Saidatina Khadijah di hadapannya. Sehingga beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengapa Baginda selalu menyebut-nyebut tentang Saidatina Khadijah sedangkan Saidatina Khadijah sudah wafat. Lalu Baginda S.A.W bersabda bahawasanya Saidatina Khadijah ialah seorang wanita Islam yang terlalu banyak berkorban demi agama.
 
Kini, tersedar ku dari lamunan. Aku sedar, sifat ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Aku perlu kawal perasaan ini, bukan lawan. Kerana sifat ini merupakan fitrah insani. Cuma ianya perlu dikawal dengan sebaiknya.

Walaupun begitu. Aku tahu bahawa suamiku sudah banyak berubah. Semenjak aku mengenali suamiku, dia sudah banyak berubah. Dia menjaga batas-batas pergaulannya dengan wanita ajnabi. Dia menundukkan pandangannya daripada memandang wanita yang bukan mahram. Dia hanya berurusan dengan wanita apabila terdapat urusan penting sahaja. Alhamdulillah. Aku sepatutnya bersyukur ke hadrat Ilahi. Dia sudah berubah dan dia bukanlah dia yang sebelum ini lagi.

Suamiku selalu berpesan agar jangan diingatkan kisah yang lepas kerana kisah itu hanya kisah silam yang menjadi epilog silamnya. Memang benar apa yang suamiku katakan. Aku akan cuba berubah menjadi isteri yang solehah dan tidak memikirkan perkara-perkara lampau itu lagi!

Kini aku berdoa agar dikurniakan sikap yang lebih positif agar hatiku tenang bila bersamanya. Aku ingin sekali kami memupuk sikap saling percaya antara satu sama lain kerana bagiku kepercayaan itu penting dalam perhubungan suami isteri. Kami juga akan sedaya-upaya membina keluarga sakinah di mana keluarga itu yang sentiasa mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya. Pada pandanganku, apabila kita yakin dengan ajaran Islam (amal,ilmu,akhlak,hubungan suami dengan Allah terjaga), secara automatiknya kita akan yakin dengan perhubungan kita secara keseluruhannya. Insya-Allah.

Pesananku buat semua pasangan suami isteri, bercintalah kerana-Nya. Cinta itu suci, dan janganlah mengotori hakikat cinta itu. Hargai pasangan kita. Dan, jagalah hati pasangan kita sebaik-baiknya. Jika telah dikurniakan suami yang soleh dan baik, bersyukurlah pada Allah dan doalah agar dia akan kekal begitu. Usahlah cemburu membabi buta kerana kemungkinan besar cemburu itu akan lebih mengeruhkan keadaan yang sedia ada.


Sangat menyedihkan apabila dalam sesebuah perkahwinan, pasangan suami isteri gagal untuk mempertahankan hubungan perkahwinan mereka. Apabila perkara seperti ini berlaku dalam hubungan rumahtangga dan tidak diselesaikan secara berhikmah, ia tidak mustahil mengakibatkan penceraian.


Oleh itu, untuk mengelakkannya daripada menjadi lebih parah, pasangan terbabit perlulah mengenalpasti apakah punca yang menyebabkan masalah-masalah timbul dalam hubungan mereka. Apabila punca pertelingkahan atau ketidaksefahaman dikenalpasti, pasangan tersebut akan lebih mudah untuk mengatasi masalah yang timbul. 

(1) Kritikan yang melampau - Pada kebiasaannya, pasangan yang telah menjalinkan hubungan agak lama tidak terlalu peka tentang masalah ini. Mereka lebih memikirkan kepuasan hati apabila mengkritik berbanding memikirkan sensitiviti pasangan.
Tanpa mereka sedari, ia sebenarnya telah menimbulkan masalah dalam hubungan dan sekiranya ia dibiarkan berterusan, mungkin akan membuatkan orang yang sentiasa dikritik merasakan perpisahan adalah jalan terbaik.
Kritikan yang melampau bukanlah satu cara yang membina sebaliknya ia boleh menjatuhkan semangat seseorang.

(2) Penipuan - Jangan sesekali memulakan penipuan dalam hubungan walaupun ia suatu perkara yang kecil kerana ia akan memberi kesan dalam hubungan untuk jangka masa panjang.
Masalah ini perlu dipandang serius untuk mengelakkan pasangan terasa seperti dianiaya. Dikhuatiri penipuan yang telah dilakukan akan mempengaruhi pasangan yang ditipu untuk turut menipu. Adalah lebih teruk sekiranya masalah ini akan terus berlanjutan dan berbalas-balas di antara satu sama lain.

(3) Intipan - Walaupun niat anda mungkin baik untuk mengetahui setiap pergerakkan atau aktiviti pasangan anda, tetapi ia sebenarnya akan membawa masalah besar dalam perhubungan sekiranya tindakan "intipan" diketahui pasangan anda. 
Oleh itu, binalah kepercayaan dan elakkan keraguan terhadap diri pasangan anda. Sekiranya tanda-tanda kecurangan dapat dikesan atau was-was, barulah anda cuba melakukan intipan. Apa yang paling penting ialah jangan sesekali bersangka buruk terhadap pasangan.

(4) Cemburu yang melampau - Cemburu sememangnya amat penting dalam hubungan. Ia adalah sebagai tanda anda benar-benar menyayangi pasangan anda. Malangnya, perasaan cemburu yang tidak terkawal akan menjadi punca masalah dalam hubungan. Perasaan cemburu itu haruslah dikawal agar bersesuaian dengan situasi, tempat, keadaan atau sebagainya.

(5) Membandingkan hubungan masa lampau - Pasangan tidak seharusnya melakukan perkara seperti ini dalam hubungan. Jangan membandingkan hubungan sekarang dengan hubungan masa lampau. Ini akan mewujudkan pelbagai pemikiran negatif terhadap pasangan. Masalah ini perlu diberi perhatian untuk mengelakkan timbulnya masalah yang lebih besar pada masa akan datang.

(6) Masalah komunikasi - Ia adalah merupakan masalah yang kritikal kerana ia melibatkan persefahaman dan penilaian terhadap pasangan masing-masing. Ini kerana semua masalah dalam hubungan seperti perasaan cemburu, krtitikan, penipuan atau sebagainya dapat diatasi sekiranya pasangan mampu berkomunikasi dengan baik. Komunikasi yang baik juga dapat membantu kedua-dua pihak untuk meluahkan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara.

(7) Mengambil ringan - Apabila sesuatu hubungan telah melalui satu jangka masa yang panjang, kebiasaannya pasangan akan mengambil ringan atau kurang memberi respon (tidak peduli) terhadap pasangan masing-masing. Masalah ini perlulah dielakkan. Bahkan, kedua-dua pasangan seharusnya berusaha untuk menyemarakkan lagi perasaan serta menguatkan ikatan cinta yang terjalin sekian lama agar terus berkekalan. 

(8) Aktiviti harian - Setiap orang pasti mempunyai tanggungjawab masing-masing yang perlu dilakukan, tetapi, jangan sesekali mengabaikan pasangan kerana ia juga merupakan salah satu dari tanggungjawab anda. Walaupun anda sibuk dengan aktiviti harian, carilah masa yang sesuai untuk diluangkan bersama pasangan anda. Masalah dalam hubungan pasti berjaya dielakkan sekiranya anda bijak untuk membahagikan masa.