Sebut saja romantik, anak muda mula tertarik hati... mungkin yang
diketahui romantik sesama 'couple' ...No..No..No.. ini romantik sesama
pasangan suami isteri.. apa lagi... jom ramai-ramai kita pakat kahwin.
Isy..Isy.. best oo kahwin... kalau tak percaya..cubalah kahwin..
hehehe..
Rasulullah Sollahhu 'Alaihi Wasallam (SAW) adalah gedung segala
sifat-sifat kesempurnaan yang sukar dicari tandingannya. Allah
membimbing baginda dengan didikan-Nya yang terbaik. Sehingga Allah
berfirman kepada baginda seraya memuji baginda di dalam surah al-Qalam
ayat ke-4 yang bermaksud : "Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi
pekerti yang agung."
Sifat-sifat yang sempurna inlah yang membuat jiwa manusia merasa
dekat dengan Rasulullah SAW. Membuatkan hati mereka mencintai baginda.
Menempatkan baginda sebagai tumpuan hati. Bahkan berapa ramai yang
dahulunya bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan
akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya
baginda.
Isteri Sebagai Bukti
Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan di hadapan manusia. Namun
dibuktikan oleh insan pendamping baginda. Meneliti satu persatu
perbuatan, pertuturan dan lenggok gayanya. Mereka ialah serikandi
rumahtangga baginda. Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami bernama
Muhammad bin Abdullah tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu
menisbahkan akhlaknya dengan akhlak kitab suci al-Quran.
Walaupun Rasulullah SAW seorang panglima perang, pemimpin tertinggi
umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih sayang dan jalan kisah
yang cukup romantis antara baginda dan isteri-isterinya. Namun berapa
banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masakini menggambarkan dirinya
bagaikan pemegang kuasa keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis
dan penuh egois.
Siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh kedudukannya lebih
mulia dari segala manusia. Namun atas tawaduk dan romantisnya baginda
membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda bersama isterinya
seolah-olah sedang menghayati novel cinta romantik.
Mandi Bersama
Diberitakan bahawa Rasulullah SAW pernah bermandi air cinta bersama
isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa Aisyah berkata
bahawa : "Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air
yang disebut al-faraq." Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa
sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah. Terutamanya
setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan.
Romantik gaya Rasulullah SAW boleh diteladani. Walaupun hidup suami
isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan pekerjaan. Kita juga boleh
mengambil sunnah-sunnah romantik Rasulullah SAW bermula dari sebelum
keluar bekerja.
Hantar Isteri Keluar Rumah
Sebagai contoh menghantar isteri ketika hendak keluar rumah seperti
yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay
sehinggakan Nabi SAW berkata :
"Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu)." [Hadis Bukhari dan Muslim]
Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan. Di dalam
Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa "Nabi Muhammad SAW duduk di
sisi unta baginda. Kemudian baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri
baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW
hingga naik atas unta."
Bukakan Pintu Kereta
Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada isteri
seperti zaman memikat isteri dahulu. Ataupun sekali sekala membonceng
isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan Anas
bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah
seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.
Bawa Isteri Jalan-Jalan
Apabila waktu cuti hujung minggu atau di malam hari, bawalah isteri
bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari seorang pakar motivasi.
Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW bersama isterinya.
Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa "Rasulullah apabila
datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan
berbincang-bincang dengannya."
Malah apabila baginda ingin keluar baginda akan mengundi siapa yang
akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah Rasulullah juga membawa
Aisyah untuk makan bersama di luar. Sehinggakan suatu ketika Nabi pernah
menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah
mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama.
(Hadis riwayat Muslim)
Suapkan Makanan
Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disarankan suami menyuap
sendiri makanan ke mulut isterinya. Sepertimana dalam sahih Bukhari dan
Muslim sabda Nabi SAW : "Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka
hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut
isterimu." Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian nafkah, namun
bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan?
Belaian & Bermanja
Belaian terhadap isteri dapat memupuk kasih antara sesama pasangan. Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata bahawa :
"Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda selalu mengunjungi
isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan
membelai mereka secara bergantian."
Adakalanya romantisnya Nabi SAW sehinggakan beliau sengaja bermanja
dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan isterinya sepertimana yang
dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari bahawa "Nabi SAW membaca
al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku
sedangkan aku dalam keadaan haid."
Bahkan amalan ini berlarutan sehingga detik-detik akhir hayat
Rasulullah SAW. Aisyah berkata "Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW,
kepala baginda berada diatas pahaku."
Ada suatu hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak
bermain bersama ibu mereka, datang baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah.
Lalu baginda mendukung Aisyah di belakang beliau. Aisyah menuturkan
bahawa :
"Baginda mendirikanku di belakang dan pipiku di atas pipi baginda. Ku
letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah SAW". (Bukhari dan Muslim).
Begitu juga isteri Nabi SAW sentiasa mendapat kucupan mesra daripada
Nabi SAW ketika ingin pergi ke masjid.
Pengubat Hati
Rasulullah bukan seorang yang kaku dan keras. Ia juga seorang manusia
yang mempunyai emosi tersendiri. Pemergian baginda telah membuatkan
kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya. Dikala isteri kesunyian,
hadirnya mengungkap keriangan. Sewaktu isteri dalam kedukaan, baginda
bukanlah sekadar pemerhati. Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan dan
kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa :
"Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda
akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika
isterinya sakit." (Bukhari dan Muslim)
Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para isteri.
Bergurau Senda
Baginda paling banyak bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari
datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) ke rumah Aisyah. Lalu Nabi
SAW duduk di antara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki beliau diatas
pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia menolaknya
kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata :
"(Demi Allah), makanlah atau aku akan mengotori wajahmu."
Saodah menolak dengan berkata : "Aku tidak akan memakannya."
Lalu Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke wajah Saodah.
Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah membalas
semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah
Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai'e, Ibn Abi Dunya)
Kisah ini merupakan senda gurau Nabi SAW bersama isteri-isterinya.
Pernah juga Rasulullah memujuk Aisyah untuk menghilangkan marahnya
dengan sengaja memegang hidung Aisyah seperti dalam riwayat Ibnu Sunni.
Begitu romantisnya rumahtangga Rasulullah SAW. Mungkin inilah rahsia
cinta sejati yang kekal ke akhir hayat Nabi SAW. Beramah mesra, bergurau
senda, belaian dan sentuhan.
Panggilan Manja
Sehinggalah ayat-ayat cinta terukir dari bibir seorang Nabi dengan
memanggil panggilan manja terhadap isterinya. Suara indah memanggil "Ya
Humaira" kepada Aisyah yang bermaksud "Wahai si putih kemerah-merahan
atau Mawar merah". Ia membuatkan ikatan itu lebih intim.
Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja "Ya Aisy"
yang bermaksud kehidupan ketika mana beliau menyampaikan salam daripada
Malaikat Jibril untuk Aisyah RA. Dengan membuang huruf terakhir itu
menunjukkan besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan yang
ditonjolkan dari Nabi SAW.
Jangan Malu Jadi Romantik
Sesungguhnya bersikap romantis sesama isteri itu adalah sunnah Nabi
SAW. Kita berharap dengan sunnah ini dapat memupuk ikatan yang lebih
erat antara sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini suatu yang perlu
dimalukan untuk diamalkan.
Romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk diamalkan.
Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa jelik bermadu
kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti, sebenarnya sikap romantis
ini adalah datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita lebih malu
mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan
silu melakukannya sebelum ianya dihalalkan.
Sebenarnya, gambaran seorang suami yang garang dan bengis bukanlah
suatu yang datangnya dari agama. Nabi SAW tidak mendidik para isteri
untuk takut kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin rumahtangga yang
hebat membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih menghormati.
Nikmat suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut meluang
masa bergurau senda dan bermesra seakan-akan baru sehari
diijabkabulkan.
Kepada suami, ayuh mengikut petunjuk Nabi dalam berkasih sayang
sesama isteri. Andai isteri berasa pelik dari mana datangnya sikap
romantis seorang suami; adakah suami baru sahaja selesai menamatkan buku
novel cinta Romeo dan Juliet?
Jawablah dengan manja. Romantis ini bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya daripada hadis Nabi SAW.